Sungai Petani Bakal Mempunyai Sebuah Litar Lumba Antarabangsa
August 16, 2022 Hafizuddin Omar

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan sebuah litar lumba bertaraf antarabangsa akan dibina di Sungai Petani, Kedah.

Menerusi perkongsian di laman Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA), Sanusi memberitahu, pada asalnya, kerajaan negeri merancang untuk membina Litar Lumba Rakyat namun ianya telah dinaik taraf kepada Litar Lumba Antarabangsa.

Perkembangan tersebut dikongsikan selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian & Pelancaran Litar Lumba Sungai Petani di antara Menteri Besar Incorporated, PKB Open Road (SP Circuit) Sdn Bhd dan ORIC Development (SP) Sdn Bhd.

Tambah beliau lagi, walaupun litar ini lebih bersifat komersial, ianya tetap juga boleh digunakan oleh rakyat yang berminat dalam sukan permotoran.

Dengan perkembangan ini, Kedah yang terkenal dengan julukan negeri jelapang padi ini bakal mempunyai dua litar lumba antarabangsa. Selain di Sungai Petani, sebuah lagi litar antarabangsa yang bakal dibina adalah di Bukit Malut, Langkawi yang diumumkan pada tahun lalu.

Difahamkan, Litar Lumba di Langkawi lebih menumpukan kepada aktiviti perlumbaan 4 roda manakala Litar Lumba di Sungai Petani menjurus kepada litar rakyat dan aktiviti permotoran nasional.

Featured Image: UPDA

Komen