Kejohanan Hoki Indoor Piala Asia 2022: Skuad Wanita Negara Bawa Pulang Pingat Gangsa
August 16, 2022 Hafizuddin Omar

Kilauan pingat gangsa menjadi milik skuad wanita negara setelah berjaya menumpaskan Kazakhstan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Hoki Dalam Dewan (Indoor) Piala Asia 2022.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand ini menyaksikan Malaysia berhasil meraih kemenangan dengan keputusan 2-0 selepas beraksi selama 40 minit.

Kedua-dua jaringan tersebut hadir menerusi penalti stroke yang disudahkan dengan cemerlang oleh Iren Hussin dan Nur Aisyah Yaacob pada minit ke-15 dan ke-39 masing-masing.

Kejayaan membawa pulang pingat gangsa ini turut diserikan dengan kapten pasukan, Juliani Mohamad Din diangkat sebagai pemain terbaik bagi perlawanan ini.

Terdahulu, skuad wanita negara kempunan untuk mara ke perlawanan akhir apabila tewas tipus 0-1 kepada skuad negara jiran tetangga, Indonesia pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, pencapaian dirangkul pada edisi kali ini adalah lebih baik berbanding edisi lalu dimana skuad wanita negara menamatkan saingan tersebut di tempat keempat. 

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen