Persekutuan Bola Sepak Seluruh India Digantung FIFA Gara-Gara Campur Tangan Pihak Ketiga
August 16, 2022 Hafizuddin Omar

Badan induk bola sepak India, Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) menerima perkhabaran duka daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, Biro Majlis FIFA sebulat suara memutuskan untuk menggantung AIFF secara serta merta.

Penggantungan itu dibuat ekoran campur tangan atau pengaruh daripada pihak ketiga dalam AIFF dan ini merupakan perlanggaran Statut FIFA yang serius.

Bagaimanapun, penggantungan ini akan ditarik balik sebaik sahaja perintah untuk menubuhkan jawatankuasa pentadbir untuk mengambil alih Jawatankuasa Eksekutif AIFF dimansuhkan dan pentadbiran AIFF mendapat semula kawalan penuh urusan harian AIFF.

Penggantungan ini bermakna kejohanan Piala Dunia B-17 Wanita yang akan berlangsung di India pada 11-30 Oktober kelak tidak boleh dijalankan seperti dijadualkan. Pada ketika ini, FIFA sedang menilai langkah seterusnya untuk diambil berkenaan kejohanan ini.

Bukan itu sahaja, memetik satu laporan media, skuad kebangsaan India samada lelaki atau wanita di pelbagai peringkat umur juga tidak akan dapat beraksi menentang mana-mana negara lain.

Selain itu, kelab-kelab bola sepak di India jugak tidak layak untuk beraksi di kejohanan seperti Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Untuk makluman, salah sebuah kelab mereka, ATK Mohun Bagan sedang berada dalam saingan Piala AFC. Dengan penggantungan ini, besar kemungkinan mereka tidak akan dapat meneruskan saingan dengan menentang pemenang juara Zon ASEAN samada PSM Makassar atau Kuala Lumpur City FC (KL City) kelak.

Komen