Artikel

FAM Mengesahkan Gol Cantik Sean Menentang Bekas Kelabnya Dihantar Pencalonan Anugerah Puskas FIFA 2022

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan jaringan cantik dari luar kotak yang dihasilkan oleh Sean Eugene Selvaraj pada 31 Julai lalu dihantar pencalonannya untuk Anugerah Puskas FIFA 2022.

Pemain Negeri Sembilan FC yang berusia 26 tahun itu mencipta jaringan tersebut ketika menentang bekas kelabnya, Selangor FC dalam saingan Liga Super.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, Dato’ S. Sivasundaram selepas diputuskan dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025, Khamis lalu.

 

Untuk makluman, jaringan yang dilakukan Sean itu bukan sahaja mencipta sensasi dalam kalangan peminat bola sepak malahan menjadi “winning goal” yang membolehkan pasukannya menamatkan perlawanan tersebut dengan keputusan 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Selain itu, jaringan tersebut turut meraih perhatian media bola sepak antarabangsa, Bleacher Report Football (BR Football) yang berkongsikan jaringan tersebut di platform media sosial mereka.

Malahan, selepas daripada itu, jaringan Sean turut disenaraikan oleh akaun Twitter FIFA dalam satu siri bebenang yang mengumpulkan jaringan-jaringan dari luar kotak yang boleh mencabar Anugerah Puskas FIFA.

Featured Image: Malaysian Football League

komen