Had Umur Piala Presiden, Piala Belia Diturunkan Sebanyak Satu Tahun
August 16, 2022 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan kejohanan bola sepak peringkat pembangunan kelolaannya iaitu Piala Presiden dan Piala Belia akan diturunkan sebanyak satu tahun selepas daripada ini.

Ini menjadikan saingan Piala Presiden dan Piala Belia akan ditandingi oleh pemain-pemain bawah 20 (B-20) dan bawah 18 tahun (B-18) masing-masing. Sebelum ini, had umur bagi kedua-dua saingan tersebut adalah bawah 21 (B-21) dan bawah 19 tahun (B-19) masing-masing.

Makluman tersebut disampaikan menerusi Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, Dato’ S. Sivasundaram selepas daripada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025.

Menurutnya, keputusan itu dibuat untuk menyelaraskan kitaran had umur bagi pertandingan AFC seperti Piala Asia B-20 dan Piala Asia B-17.

Selain itu, FAM akan memperkasakan program akar umbi bagi tahun 2023 dengan matlamat untuk mendapatkan keahlian emas Piala Akar Umbi AFC. Ketika ini, FAM memegang keahlian perak.

Dengan itu, Liga SupaRimau B-12, B-14 dan B-16 akan dimainkan sehingga pusingan akhir peringkat kebangsaan (liga secara kompetitif). 

Manakala bagi kategori B-6, B-8 dan B-10 akan lebih fokus ke arah pembangunan iaitu tanpa carta kedudukan liga kerana ia dijalankan secara konsep festival.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen