Peminat Tawar Norizam RM3 Juta Untuk Beli 5% Saham Kelantan FC
August 16, 2022 Hafizuddin Omar

Pelaburan dilakukan ahli perniagaan dan pelabur, Norizam Tukiman dengan membeli Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) pada tahun 2020 nampaknya sudah mula menampakkan tanda-tanda bakal memberi pulangan yang menguntungkan.

Menghampiri dua tahun pemilikan skuad yang beraksi dalam kancah Liga Premier itu, Norizam yang turut dikenali sebagai Zamsaham menerima satu tawaran yang cukup menarik daripada peminat tegar skuad TRW ini. 

“Terima surat permohonan dari fans setia bola Kelantan FC berminat nak beli 5% saham TRW Kelantan FC pada harga RM3,000,000. Insya-Allah, kalau jadi saya akan umumkan,” dedah ahli perniagaan kelahiran Johor ini menerusi laman sosialnya.

Untuk makluman, pada September 2020, Norizam mengambil alih 100% pemilikan skuad berjulukan The Red Warriors (TRW) itu selepas mengeluarkan duit sebanyak RM6.8 juta dimana RM3 juta untuk pembelian saham dan baki RM3.8 juta sebagai pendahuluan buat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan hutang lapuk.

Sejak mengambil alih pasukan ini, Norizam telah melakukan banyak perubahan yang berkaitan dalam dan luar padang termasuk mengadakan perniagaan-perniagaan yang boleh menjana keuntungan buat kelab.

Tambah Norizam lagi, nilai saham Kelantan FC akan semakin meningkat sekiranya dapat mengadakan padang latihan di setiap jajahan dalam negeri Kelantan. 

Penubuhan akademi bola sepak antarabangsa, TRW International Football Academy pula akan menjadi platform terbaru yang akan memperkuatkan ekosistem ini. Selain itu, Norizam turut memasang hasrat untuk membuka lebih banyak TRW Shop.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen