Pelari Pecut Azeem Fahmi Dipilih Sebagai Pembaca Ikrar Hari Kebangsaan Ke-65
August 17, 2022 Hafizuddin Omar

Pelari pecut remaja merangkap pemegang rekod 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi telah dipilih sebagai pembaca ikrar utama pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 yang akan dilangsungkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos kelak.  

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media yang menyampaikan berkenaan perkembangan sambutan tersebut, hari ini.  

“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik saudara Muhammad Azeem Bin Mohd Fahmi yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara yang baru beraksi di kejohanan di Cali menjadi pembaca ikrar utama,” katanya.

Pelari berusia 18 tahun ini memecahkan rekod 100m kebangsaan apabila mencatatkan masa larian sepantas 10.09 saat (s) ketika beraksi di pusingan pertama di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia.

Catatan masa itu mengatasi rekod yang dilakukan oleh Khairul Hafiz Jantan sebelum ini iaitu 10.17s.

Tambah Annuar lagi, perarakan Hari Kebangsaan yang bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” pada kali ini akan turut menampilkan jaguh-jaguh sukan negara yang memenangi pingat emas di temasya Sukan Komanwel, baru-baru ini.

“Perarakan pada kali ini juga melibatkan tokoh-tokoh wira dan wirawati sukan negara termasuklah pemenang-pemenang pingat emas temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022,” tambahnya lagi.

Antara pemenang pingat emas di temasya berkenaan ialah Mohammad Aniq Kasdan, Muhammad Aznil Bidin, Bonnie Bunyau Gustin, Ng Joe Ee, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan serta ahli pasukan campuran badminton negara.

Sebagai rekod, sambutan Hari Kebangsaan kali ini juga menyaksikan ianya kembali disambut di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur buat kali pertama selepas tahun 2017. Sambutan seterusnya pada tahun 2018, 2019, 2020 dan 2021 diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya.

Featured Image: Instagram Azeem Fahmi

Komen