Artikel

Pemilik OGC Nice Berminat Beli Manchester United

Pemilik kelab bola sepak OGC Nice merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ineos, Jim Ratcliffe meluahkan minat untuk membeli Manchester United.

Ahli perniagaan kelahiran United Kingdom ini mempunyai nilai bersih 16.3 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) dan merupakan individu ke-111 dunia mengikut senarai yang dikeluarkan oleh Forbes, tahun ini.

Menurut laporan The Athletic yang memetik The Times, hasrat Ratcliffe yang juga merupakan pengasas dan pengerusi Kumpulan Ineos ini diluahkan dan disampaikan menerusi jurucakapnya.

“Jika kelab itu mahu dijual, Jim (Ratcliffe) pastinya merupakan seorang pembeli yang berpotensi,” kata jurucakapnya itu.

“Jika sesuatu seperti ini boleh dilakukan, kami berminat untuk berbincang dengan hasrat untuk pemilikan jangka masa panjang.”

“Ini bukan berkenaan wang yang telah dibelanjakan atau tidak dibelanjakan. Jim melihat apa yang boleh dilakukan sekarang dan, mengetahui akan kepentingan kelab ini terhadap bandar ini, dia merasakan ini merupakan waktu yang tepat untuk melakukan reset.”

Untuk makluman semua, selain daripada memiliki OGC Nice yang beraksi dalam kancah Ligue 1 di Perancis, menerusi Ineos, Ratcliffe turut memiliki FC Laussane dan Racing Club Abidjan yang berpangkalan di Switzerland dan Ivory Coast masing-masing.

Selain bola sepak, Ineos turut terlibat dalam pelbagai sukan lain menerusi pemilikan dan penajaan seperti basikal, Formula 1, pelayaran, ragbi dan cabaran ekstrim.

Featured Image: Ineos Group

komen