Artikel

Lion City Sailors Lancar Kejohanan Remaja Dengan Tajaan Hampir RM1 Juta Oleh PUMA

Selepas membuka pusat latihan baharu serba moden pada penghujung Julai lalu, Lion City Sailors yang berpangkalan di Singapura melancarkan sebuah kejohanan remaja untuk pelbagai peringkat umur, pada hari ini.

Menerusi maklumannya, kejohanan ini mendapat tajaan berjumlah hampir RM1 juta daripada syarikat jenama sukan global, PUMA dengan kontrak selama dua tahun.

Tajaan ini membolehkan PUMA meraih hak selaku penaja jenama (title sponsor) sekaligus menjadi kejohanan ini bergelar PUMA Youth Champions League (YCL).

Kejohanan ini akan membuka tirai dan berlangsung buat julung kalinya bermula September 2022 hingga Mei 2023 yang akan menampilkan enam kategori umur bermula bawah 10 tahun (B-10) hingga bawah 16 tahun (B-16).

Setiap kategori umur akan ditandingi oleh enam buah pasukan dan ini menjadikan kejohanan YCL mempunyai 360 perlawanan secara keseluruhan. 

Difahamkan, kelab berjulukan The Sailors ini diberikan pemahaman struktur Akademi Feyenoord dan sistem bola sepak remaja Belanda. Ini hasil daripada Lion City Sailors menjalinkan kerjasama dengan Feyenoord selama tiga tahun pada Februari lalu.

Maklumat yang didapati daripada struktur dan sistem ini digabungkan bersama-sama kaedah terbaik oleh akademi-akademi terbaik eropah untuk menjalankan akademi swasta mereka yang tersendiri – mendekati model atau sistem bola sepak remaja Belanda.

Sudah pasti lokasi untuk menganjurkan kejohanan tidak menjadi masalah buat mereka memandangkan pusat latihan baharu yang dilancarkan baru-baru ini mempunyai lima padang bola sepak dan pelbagai fasiliti yang lain lagi.

Selain itu, pihaknya turut mendedahkan kejohanan ini akan mendapat pendedahan media yang konsisten dimana kejohanan ini akan mempunyai platform media sosialnya yang tersendiri.

Ini termasuk dengan menayangkan sorotan perlawanan bagi kesemua 360 perlawanan setiap minggu mengikut kategori umur, pasukan terbaik dan termasuk temu bual bersama para pemain.

Kejohanan ini bukan sahaja akan memanfaatkan skuad The Sailors untuk menyediakan pemain di masa hadapannya bahkan menguntungkan bola sepak Singapura secara keseluruhannya.

komen