Disiplin Semasa Bertahan Menjadi Resipi Kemenangan KL City
August 19, 2022 Hafizuddin Omar

Disiplin semasa bertahan di dalam kawasan sendiri serta berjaya menyerap kekuatan dimiliki rangkaian penyerang Negeri Sembilan FC menjadi resipi di sebalik kejayaan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Menurut pemain tengahnya, Zhafri Yahya, dia bersyukur mereka dapat mengekalkan kelebihan sepanjang separuh masa kedua selepas berjaya mengikuti segala perancangan taktikal yang disusun ketua jurulatih, Bojan Hodak.

“Corak permainan Negeri Sembilan kita memang sudah jangkakan, mereka akan terus dapatkan penyerang dan daripada situ kami akan kuatkan barisan pertahanan serta cuba memenangi perebutan bola kedua.

“Tiga penyerang Negeri Sembilan memang ada kekuatan tersendiri dan mereka akan cuba menarik bahagian pertahanan kita tetapi pemain lain datang membantu untuk kompak di kawasan sendiri.

“Mungkin rezeki berpihak juga kepada kita apabila daripada situasi sepakan penjuru, kami berjaya menjaringkan gol bagi berikan kemenangan pada perlawanan ini,” katanya.

Zhafri menjadi pengumpan kepada jaringan kemenangan selepas sepakan penjurunya berjaya ditanduk Paulo Josue pada penghujung separuh masa pertama.

Sebelum itu, Negeri Sembilan mempunyai beberapa peluang keemasan untuk berada di depan terutama melalui Zaquan Adha namun dihampakan melalui kecemerlangan Kevin Ray Mendoza.

Kemenangan 1-0 itu meletakkan KL City semakin kukuh di tangga keenam, meninggalkan pencabar terdekat, Kedah Darul Aman FC, di tangga ketujuh dengan perbezaan tiga mata.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen