ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, JDT Kempunan Ke Suku Akhir
August 19, 2022 Hafizuddin Omar

Perjalanan cemerlang Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim ini berakhir di Pusingan 16 sekaligus kempunan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Juara Liga Super 8 kali berturut-turut ini terpaksa akur dengan keunggulan pasukan lawan, Urawa Red Diamonds merangkap juara Maharaja Jepun 2021 yang berhasil mencetak kemenangan 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung sebentar tadi.

Tiga daripada empat jaringan tersebut hadir pada babak pertama permainan menerusi Alexander Scholz (8’) dan jaringan berganda oleh David Moberg Karlsson (19′, 39′).

Manakala dua jaringan lagi dicetak pada penghujung babak kedua menerusi dua serangan balas yang disudahkan kedua-duanya oleh Kasper Junker pada minit ke-85 dan ke-90+1. 

Sesekali skuad Harimau Selatan cuba melakukan serangan untuk mencari jaringan saguhati namun benteng pertahanan dan penjaga gol Urawa tidak memberi muka dan berhasil mengekalkan “clean sheet” sehingga pengadil perlawanan meniup wisel menamatkan permainan.

Walaupun perjalanan JDT di pentas elit asia ini telah berakhir, mereka masih boleh pulang dengan kebanggaan lebih-lebih lagi berjaya melepasi peringkat kumpulan buat julung kalinya pada musim ini.

Dengan tamatnya kempen ACL, fokus mereka akan kembali terarah ke saingan domestik iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen