3 Cara Azeem Fahmi Dapat Layak Ke Kejohanan Olahraga Dunia Budapest 2023
August 22, 2022 Hafizuddin Omar

Kejohanan Olahraga Dunia 2023 akan diadakan di ibu negara Hungary iaitu Budapest bermula 19 hingga 27 Ogos tahun hadapan. Selaras dengan itu, badan induk dan penganjur, World Athletics telah mengeluarkan sistem kelayakan buat para atlet untuk menyertai kejohanan ini secara rasminya.

Untuk atlet muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mencipta sensasi dalam kalangan peminat sukan dengan rekod larian 100 meter (m) sepantas 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) baru-baru ini mahu layak ke pentas Kejohanan Olahraga Dunia tahun hadapan, ada tiga cara boleh diusahakannya.

Pertama, Azeem boleh melayakkan diri terutamanya dalam acara pecut 100m secara automatik dengan merekodkan masa larian 10s dan ke bawah dalam mana-mana kejohanan yang diiktiraf oleh World Athletics bermula 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2023.

Bagi satu lagi acara yang disertainya, 200m, masa larian yang ditetapkan oleh World Athletics adalah 20.16s. Sebagai perbandingan, rekod peribadi terbaik Azeem dalam acara ini ialah 20.83s.

Selain Azeem, antara atlet terbaik negara dalam acara ini adalah atlet berdarah campuran, Russel Taib yang pernah merekodkan larian sepantas 20.77s – rekod kebangsaan.

Kedua, Azeem boleh melayakkan diri ke pentas ini menerusi ranking dunia. Kedudukan ranking dunia Azeem di penghujung tempoh kelayakan ini. Bagaimanapun, slot yang boleh didapati menerusi cara ini bergantung kepada jumlah atlet yang telah layak secara automatik. Sebagai rekod, bagi acara 100m dan 200m, Azeem kini berada di kedudukan ke-177 dan ke-354 masing-masing.

Ketiga, kelayakan ke pentas ini boleh diraih menerusi menamatkan sesuatu acara olahraga tertentu sebagai juara seperti kejohanan benua.

Untuk makluman semua, setiap negara boleh menghantar sehingga tiga orang atlet bagi setiap acara individu.

Selain daripada acara individu, Azeem turut beraksi dalam acara 4x100m. Bagi acara ini, 12 pasukan terbaik di World Athletics Relays 2023 akan layak secara automatik ke pentas Kejohanan Olahraga Dunia Budapest 2023. Setiap negara, boleh menghantar maksimum satu pasukan atau kuartet sahaja di kejohanan ini.

Komen