Syarikat pembuat kereta dari Republik Korea, Kia diangkat selaku rakan rasmi automotif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan, Harimau Malaya secara rasminya pada hari ini.
Perkembangan ini hadir selepas badan induk bola sepak negara menjalinkan kerjasama strategik bersama jenama syarikat kereta ini menerusi pengedarnya di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. (DJM) yang merupakan anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad.
Hasil daripada kerjasama ini, FAM mendapat tiga unit kenderaan utiliti besar (GUV) model baharu, Kia Carnival 2022 untuk digunakan oleh skuad Harimau Malaya.
Kenderaan ini juga dapat memberi faedah kepada Unit Pasukan Kebangsaan yang diketuai oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk melakukan pemerhatian pemain-pemainnya di seluruh negara selain melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.
“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekaligus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.
“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana.
“Harapan saya menerusi jalinan kerjasama bersama DJM, ia dapat memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.
Featured Image: Football Association of Malaysia