Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Lee Zii Jia Lepasi Cabaran Perancis, Pemain Portugal Menanti Di Pusingan 32

Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah dengan mudah ke Pusingan 32 dalam Kejohanan Dunia BWF 2022.

Pemain yang berada ranking kelima dunia ini melangkah ke pusingan tersebut selepas berhasil menjinakkan cabaran pemain Perancis, Brice Leverdez di Pusingan 64, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Brice Leverdez yang berada di ranking ke-40 dunia terpaksa akur dengan kehebatan Zii Jia tumpas secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 9-21 dan 13-21 dalam tempoh masa 39 minit permainan.

Menyoroti kembali pertemuan melibatkan kedua-dua pemain, Zii Jia dan Leverdez direkodkan pernah berentap sebanyak tiga kali sebelum ini di pentas antarabangsa.  

Pertemuan itu berlangsung di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Thailand Masters 2019 dan Badminton Terbuka Bitburger 2017 yang menyaksikan dua daripanya dimenangi oleh Zii Jia.

Memandangkan cabaran di Pusingan 64 telah selesai, Zii Jia yang meluncur ke Pusingan 32 akan berhadapan pula dengan pemain Portugal, Bernardo Atilano (ranking ke-138). 

Untuk makluman semua, pemain No.1 Portugal yang berusia 26 tahun ini mara secara percuma apabila pemain Jerman yang sepatutnya menjadi lawannya, Max Weisskirchen menarik diri di Pusingan 64.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen