Shahidan Kassim Ganti Annuar Musa Sebagai Patron & Presiden KL City Baharu
August 23, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di ibu kota negara, Kuala Lumpur City FC (KL City) mengumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim sebagai penaung (patron) dan presidennya yang baharu.

Perlantikan itu diumumkan oleh Presiden Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Samad menerusi satu kenyataan media yang diedarkan kepada para pengamal media, pada hari ini.

Difahamkan, perlantikan ini sejajar dengan perkembangan semasa KL City dan melalui kebijaksanaan dan tunjuk ajar daripada Shahidan, pihak kelab berharap dapat membuka jalan buat pasukan mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan. 

“Sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), saya dengan berbesar hati mengumumkan Dato’ Seri Shahidan telah menerima tawaran sebagai Presiden KL City dalam tempohnya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan,” kata Khalid Samad.

Untuk makluman semua, Shahidan Kassim bukanlah satu nama asing dalam bola sepak tanah air. Beliau pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) selama 15 tahun dari tahun 1998 hingga 2013.

Ketika menerajui persatuan terbabit, pasukan Perlis yang berjulukan Singa Utara pernah merangkul dua trofi Piala Malaysia, satu trofi Liga Super serta dua trofi Piala Sumbangsih.

Selain daripada berkecimpung dalam dunia bola sepak pada masa lalu, pada ketika ini, Shahidan turut berperanan sebagai Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Sebagai tambahan, perlantikan Shahidan ini turut mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa yang meletakkan jawatannya pada penghujung Februari lalu.

Featured Image: Shahidan Kassim

Komen