Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Setiausaha (SU) Agung, Saifuddin Abu Bakar meletakkan jawatannya, pada hari ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan badan berkenaan, Saifuddin meletakkan jawatannya atas alasan mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.
Pengumuman perletakan jawatan ini hadir sekitar seminggu sahaja lagi menjelang genapnya satu tahun perlantikan Saifuddin selaku SU Agung FAM. Bagaimanapun, FAM menyatakan Saifuddin akan meneruskan baki khidmatnya sehingga 31 Ogos ini.
Siaran Media: FAM Terima Peletakan Jawatan Mohd Saifuddin Abu Bakar
▶️ Baca penuh di https://t.co/nXRwNVx1SD#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/UI2JZU1Ymv
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 23, 2022
Satu mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 yang dihadiri Jawatankuasa Eksekutif FAM pada hari ini telah menerima perletakan jawatan Saifuddin terbabit.
Namun begitu, tiada sebarang makluman daripada FAM mengenai individu yang akan menggantikan atau mengisi kekosongan tersebut setakat ini.
Sebagai rekod, Saifuddin yang merupakan bekas perunding teknikal Persatuan Bola Sepak Oman (Oman FA) memulakan tugasnya bersama FAM pada 1 September tahun lalu. Beliau masuk menggantikan Stuart Ramalingam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL).
Featured Image: FAM