Kejohanan Dunia BWF: Pemenang Emas Olimpik Singkir Tang Jie-Yen Wei Di Pusingan 32
August 23, 2022 Hafizuddin Omar

Perjalanan Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei yang kembali bergadingan semula di Kejohanan Dunia BWF 2022 nampaknya bertahan setakat Pusingan 32 sahaja.

Kedua-dua pemain ini berpisah selepas merangkul pingat emas di Sukan SEA Vietnam 2021 pada Mei lalu. Semalam, Tang Jie-Yen Wei kembali beraksi bersama dan memulakan kempen kejohanan dunia dengan kemenangan ke atas beregu campuran Amerika Syarikat di Pusingan 64. 

Bagaimanapun, penghuni ranking ke-28 dunia ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan dunia ini apabila terpaksa akur tumpas kepada wakil China merangkap pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Wang Yi Lyu dan Huang Dong Ping di Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Tang Jie-Yen Wei terlebih dahulu tumpas kepada penghuni ranking keempat dunia ini dengan skor 14-21. Namun begitu, mereka berhasil bangkit di set kedua dengan skor 21-12 sekaligus mengheret Yi Lyu-Dong Ping ke set penentuan.

Akan tetapi, Yi Lyu-Dong Ping tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan di set penentuan dengan pungutan mata 21-11 sekaligus memenangi pertarungan ini.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua Yi Lyu-Dong Ping ke atas Tang Jie-Yen Wei di pentas antarabangsa. Pertemuan dan kemenangan pertama mereka hadir ketika turun berhadapan Tang Jie-Yen Wei di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 pada April lalu.

Sementara itu, Yi Lyu-Dong Ping yang diletakkan sebagai pilihan keempat di kejohanan ini dapat meneruskan kemaraannya ke Pusingan 16. Di peringkat ini, mereka akan berentap menentang samada beregu Taiwan, Lee Yang-Yang Ching Tun atau beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Featured Image: Swiss Open

Komen