Artikel

Kejohanan Dunia BWF: S. Kisona, Yeen Yuan-Valeree Kandas Di Pusingan 64

Beregu wanita muda negara, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow hanya dapat merasai satu perlawanan sahaja di Kejohanan Dunia BWF 2022.

Pasangan yang berusia 20 tahun masing-masing ini meraih debut di pentas kejohanan dunianya pada hari ini namun terpaksa pulang sejurus tamat sahaja perlawanan di Pusingan 64.

Dalam perlawanan tersebut, Yeen Yuan-Valeree terpaksa akur tumpas kepada wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Pullela secara “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-13 dalam tempoh 31 minit.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara yang beraksi dalam kategori perseorangan wanita, Kisona Selvaduray turut mendapat nasib yang sama – pulang sejurus Pusingan 64.

Pemain berusia 23 tahun ini tumpas kepada pemain Vietnam, Vu Thi Trang juga secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-17. Ianya berlangsung dalam tempoh 37 minit permainan.

Untuk makluman, ini merupakan penampilan kedua Kisona di Kejohanan Dunia BWF. Penampilan tahun lalu turut menyaksikan dia terkandas di Pusingan 64.

komen