Kejohanan Dunia BWF: “Perang Saudara” Sze Fei-Izzuddin Hanya Pernah Menang Sekali Menentang Aaron-Wooi Yik
August 24, 2022 Hafizuddin Omar

Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin menepati ramalan ramai peminat badminton tempatan dapat melayakkan diri ke Pusingan 16 di Kejohanan Dunia BWF 2022.

Malangnya, kemaraan kedua-dua beregu yang menghuni ranking keenam dan ke-12 dunia masing-masing ini membuatkan mereka terpaksa berentap sesama sendiri sekaligus menjadi “perang saudara” di pusingan tersebut.

Berdasarkan rekod pertemuan di pentas antarabangsa, Aaron-Wooi Yik jelas memiliki rekod kemenangan yang lebih baik apabila menentang Sze Fei-Izzuddin.

Tiga daripada empat pertemuan berpihak kepada Aaron-Wooi Yik dimana kemenangan itu dicipta semasa bertarung di Kejohanan Badminton Asia 2022, Terbuka Seluruh England 2020 dan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018.

Sze Fei-Izzuddin hanya pernah merekodkan satu kemenangan ketika menentang Aaron-Wooi Yik di Terbuka Jerman 2019.

Menariknya, pungutan mata pada tiga pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasangan ini tamat secara “staight set”. Hanya pertembungan pertama mereka sahaja diselesaikan menerusi tiga set permainan.

Untuk makluman semua, Aaron-Wooi Yik berhasil mara ke Pusingan 16 ini selepas mengalahkan wakil Taiwan, Lu Ching Yao dan Yang Po Han dengan skor 22-20 dan 21-18 di Pusingan 32, sebentar tadi.

Manakala, Sze Fei-Izzuddin pula mara selepas menyingkirkan wakil Ireland, Joshua Magee dan Paul Reynolds secara “straight set” 21-13 dan 21-12 juga pada hari ini.

Komen