Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Pearly-Thinaah Belum Pernah Menang Menentang Nami-Shida

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menepati ramalan ramai depat melayakkan diri ke Pusingan 16 di Kejohanan Dunia BWF 2022.

Pasangan yang menghuni ranking ke-11 dunia ini mencetak kemaraan tersebut selepas mengalahkan wakil India, Treesa Jolly dan Gayatri Pullela di Pusingan 32, hari ini.

Namun begitu, kemaraan tersebut membawa Pearly-Thinaah berhadapan dengan cabaran yang sukar bertemu beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida – pasangan yang belum pernah mereka tewaskan di pentas antarabangsa.

Pasangan dari negara matahari terbit ini menduduki ranking kelima dunia. Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah pernah turun berentap menentang mereka sebanyak lima kali dan kelima-limanya berakhir dengan kekalahan.

Pertembungan-pertembungan tersebut berlangsung di Terbuka Thailand 2022, Indonesia Masters 2021, Piala Sudirman 2021, Terbuka Seluruh England 2021 dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020.

Lebih menggusarkan, tiga pertemuan terakhir mereka menyaksikan Pearly-Thinaah tumpas secara “straight set”.

Untuk makluman, gandingan Nami-Shida yang diletakkan selaku pilihan kelima untuk menjuarai kejohanan ini mara ke Pusingan 16 dengan menumpaskan pasangan Kanada, Catherine Choi dan Josephine Wu di Pusingan 32.

Adakah Pearly-Thinaah dapat melakukan kejutan dengan mencetak kemenangan sulung ke atas Nami-Shida dalam perlawanan pada hari esok? Sama-sama kita nantikan.

komen