Piala AFC: KL City Cipta Sejarah Muncul Juara Zon ASEAN
August 24, 2022 Hafizuddin Omar

Gelaran juara zon ASEAN bagi saingan Piala AFC 2022 menjadi milik skuad berpangkalan ibu kota negara, Kuala Lumpur City FC (KL City).

Kejuaraan julung kalinya dalam sejarah pasukan mereka ini hadir selepas berjaya menumpaskan wakil Indonesia, PSM Makassar dalam perlawanan akhir zon ASEAN yang berlangsung pada hari ini.

Sambil disaksikan oleh penyokong sendiri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, skuad kendalian Bojan Hodak mengesahkan status juara dengan merekodkan kemenangan 5-2 mengatasi skuad Juku Eja tersebut.

Lima jaringan oleh KL City hadir menerusi Romel Morales, Jordan Mintah dan Paulo Josue (2 gol) dan Hadin Azman pada minit 33’, 45+2’, 52’ (penalti), 84’ dan 90+4′ masing-masing.

Manakala dua jaringan pasukan pelawat pula disumbangkan oleh Yakob Sayuri dan Akbar Tanjung pada minit 58’ dan 63’ masing-masing.

Pada masa yang sama, dengan kemenangan yang diraih ini, KL City dapat meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir antara zon menentang wakil India, ATK Mohun Bagan.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia, FIFA mengumumkan telah menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh Indian (AIFF) dan perkara ini menyebabkan kelab bola sepaknya tidak boleh beraksi di pentas ini.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan status ATK Mohun Bagan samada boleh meneruskan aksi atau tidak saingan Piala AFC ini.

Sekiranya tidak, KL City dapat melangkau peringkat separuh akhir ini dan terus melangkah ke peringkat akhir antara zon menentang samada wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh atau wakil Hong Kong, Eastern Sports Club.

Featured Image: AFC Cup

Komen