Kejayaan pasukan berpangkalan di ibu kota negara, Kuala Lumpur City FC (KL City) memenangi perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN dengan menumpaskan kelab Indonesia, PSM Makassar telah meraih pujian ramai peminat bola sepak tempatan.
Tidak ketinggalan, kemenangan julung kali buat skuad berjulukan The City Boys ini turut mendapat perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Dalam satu hantaran di laman Instagram rasmi KL City, TMJ meninggalkan satu komen dengan mengucapkan tahniah kepada KL City serta memuji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard, ketua jurulatih, Bojan Hodak dan para pemain.
TMJ menerusi komen itu juga mendedahkan KL City hanya mengeluarkan belanja sekitar RM10 juta sahaja namun telah berhasil meraih kejuaraan Piala Malaysia 2021 serta kejayaan terbaru, juara Piala AFC Zon ASEAN pada malam tadi.
Dan komen daripada TMJ itu dibalas dengan ucapan terima kasih oleh Stanley sambil memberikan kredit khusus kepada Bojan dan pasukan atas kejayaan yang dikecapi itu.
Walaupun JDT sudah lama meninggalkan saingan Piala AFC kerana bertanding di saingan yang lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara AFC namun mereka kekal sebagai satu-satunya kelab dari rantau ASEAN yang menjuarai saingan ini, setakat ini.
Sebagai rekod, JDT muncul juara Piala AFC pada tahun 2015 dengan menumpaskan kelab Tajikistan, FC Istiklol dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Pamir, Dushanbe.
Untuk makluman semua, KL City juga muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai saingan Zon ASEAN sejak format baharu Piala AFC ini diguna pakai bermula tahun 2017. Antara kelab yang pernah menjuarai saingan Zon ASEAN ini ialah Ceres Negros (2017), Home United (2018), Hanoi (2019) dan KL City (2022).