Beregu campuran bebas (independent) negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai meneruskan lagi kemaraan di Kejohanan Dunia BWF 2022 ke peringkat suku akhir.
Kemaraan pasangan ranking ke-14 dunia ini menemukan mereka dengan naib juara edisi tahun lalu yang kini menduduki ranking ketiga dunia, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino.
Untuk makluman semua, catatan pertemuan Soon Huat-Shevon menentang beregu dari Jepun ini tidak begitu baik. Daripada dua pertemuan yang direkodkan, kedua-duanya berakhir dengan kekalahan.
Ianya direkodkan ketika bertemu di Terbuka Thailand 2022 dan Terbuka Seluruh England 2019 dimana mereka tumpas secara “straight set” dalam kedua-dua pertarungan tersebut.
Pertembungan di suku akhir dijadualkan berlangsung esok. Mereka akan berentap bagi merebut tiket ke peringkat separuh akhir.
Sebagai tambahan, Soon Huat-Shevon layak ke suku akhir dengan menumpaskan beregu Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-4 di Pusingan 16, hari ini.
Manakala Yuta-Arisa pula melangkah ke pusingan yang sama selepas menyingkirkan beregu Belanda, Robin Tabeling dan Selena Siek juga secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-19 di Pusingan 16 yang tamat sebentar sahaja tadi.