Artikel

MFL Perkenal Kategori Baharu Untuk Tiket Final Piala FA Berharga RM200 Sekeping

Malaysian Football League (MFL), pada hari ini, mengumumkan secara rasmi harga tiket bagi perlawanan akhir Piala FA 2022 yang menemukan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September kelak.

Menerusi kenyataan rasminya, sebanyak empat tier harga tiket akan dijual untuk perlawanan akhir kali ini dengan disertakan satu pengenalan kategori baharu, VIP Grandstand, yang berharga RM200 sekeping.

Manakala tiga kategori lagi iaitu Premium Grandstand berharga RM150 serta General Admission yang terbahagi kepada dua tier harga, RM70 dan RM50 kekal sama seperti perlawanan akhir, tahun lalu.

“MFL telah menetapkan empat ‘tier’ harga tiket bagi perlawanan akhir Piala FA 2022 di mana MFL masih mengekalkan harga General Admission RM50 dan RM70 serta Premium Grandstand RM150 meskipun saban tahun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran.

“Bagaimanapun bagi kali ini, MFL memperkenalkan tiket VIP Grandstand yang berharga RM200. Empat ‘tier’ tiket ini bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong-penyokong untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan final itu nanti.” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam.

Dimaklumkan, sebanyak 78,000 tiket akan dijual untuk perlawanan akhir ini. MFL turut memutuskan untuk menyerahkan urusan jualan tiket yang telah diperuntukkan kepada setiap kelab untuk dijual kepada penyokong masing-masing.

Ini bermakna, Terengganu dan JDT akan mendapat 39,000 keping tiket masing-masing bagi dijual kepada penyokong masing-masing.

komen