Kejohanan Dunia BWF: Buat Pertama Kalinya Aaron-Wooi Yik Melangkah Ke Separuh Akhir
August 26, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menyerikan karier mereka pada hari ini dengan melangkah buat julung kalinya ke peringkat separuh akhir di pentas Kejohanan Dunia BWF.

Pasangan yang menghuni ranking keenam dunia ini mengesahkan kemaraan tersebut selepas berhasil mengalahkan beregu Korea, Choi Sol-gyu dan Seo Seung-jae di peringkat suku akhir, sebentar tadi. 

Pertarungan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik merekodkan kemenangan ke atas penghuni ranking ke-11 dunia ini secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-16 dalam tempoh masa 40 minit permainan.

Menyoroti pertemuan melibatkan Aaron-Wooi Yik dan Choi-Seo, sudah pasti ini bukanlah yang pertama di pentas antarabangsa. Keputusan yang direkodkan pada hari ini juga menjadikan Aaron-Wooi Yik telah mencatatkan empat kemenangan berturut-turut ke atas Choi-Seo daripada enam pertemuan secara keseluruhan. 

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan penampilan keempat gandingan Aaron-Wooi Yik di pentas Kejohanan Dunia BWF. Kempen ddisi 2021, 2019 dan 2018 yang disertai mereka sebelum ini hanya tamat di Pusingan 16, Pusingan 32 dan suku akhir masing-masing.

Sementara itu, lawan bagi Aaron-Woi Yik di peringkat separuh akhir masih belum ditentukan. Dua beregu iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi akan berentap sekejap lagi untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen