Pembelian Termahal Dalam Sejarah Arsenal, Nicolas Pepe Dipinjamkan Kepada Nice
August 26, 2022 Hafizuddin Omar

Pada Ogos tahun 2019, Arsenal mengeluarkan belanja sebanyak £72 juta untuk mendatangkan penyerang sayap berkerakyatan Ivory Coast iaitu Nicolas Pepe sekaligus menjadikannya sebagai pembelian termahal dalam sejarah kelab.

Bagaimanapun, khidmat pemain berusia 27 tahun ini nampaknya tidak berada dalam perancangan Mikel Arteta dan Arsenal mencapai persetujuan untuk meminjamkannya kepada kelab berpangkalan di Perancis, OGC Nice bagi musim ini, musim 2022/23.

Bercakap mengenai sumbangan Pepe sepanjang bersama Arsenal tiga musim lalu, dia merekodkan jaringan sebanyak 27 gol serta 21 bantuan gol kepada rakan sepasukan daripada 112 penampilan yang diraihnya.

Impak yang diberikannya ini menjadi polemik dalam kalangan sebahagian peminat dan penyokong Arsenal dan merasakan ia tidak setara dengan jumlah pelaburan yang dikeluarkan.

View this post on Instagram

A post shared by OGC Nice (@ogcnice)

 

Sebagai perbandingan, seorang lagi penyerang sayap iaitu Gabriel Martinelli yang menyertai Arsenal pada jendela perpindahan yang sama pada harga £6 juta, merekodkan jaringan sebanyak 20 gol serta 13 bantuan gol daripada 87 penampilan.

Satu perbezaan yang tidak begitu besar walaupun hadir dengan dua tanda harga yang cukup berbeza.

Bercakap mengenai cabaran bola sepak Perancis, saingan Ligue 1 yang menjadi kancah permainan Nice bukanlah sesuatu yang asing buat Pepe. Ini merupakan liga yang mengangkat nama Pepe sebelum menyertai Arsenal pada tahun 2019.

Ketika itu, Pepe beraksi bersama LOSC Lille merekodkan 22 jaringan serta 11 bantuan gol hasil daripada 38 penampilannya. Impak itu telah membantu Lille menyudahkan saingan Ligue 1 selaku naib juara. 

Statistik ini juga menjadikannya sebagai penjaring kedua terbanyak Ligue 1 pada musim berkenaan di belakang Kylian Mbappe.

Untuk makluman semua, Pepe mempunyai kontrak bersama skuad The Gunners sehingga tahun Jun 2024 dan kontrak pinjamannya bersama Nice tidak disertakan dengan pilihan untuk pembelian.

Featured Image: Arsenal

Komen