Artikel

MFL Salur RM100,000 Kepada Pemain & Pegawai Sarawak United – 4 Bulan Gaji Tertunggak

Dua hari lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memaklumkan telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC mengenai isu tunggakan gaji yang sudah memasuki 4 bulan.

Perkembangan mendukacitakan itu membuatkan badan pengendali, Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk menyalurkan sejumlah RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang terkesan dengan isu tersebut.

Menerusi satu kenyataan, keputusan tersebut dicapai secara sebulat suara di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ke-4 yang dipengerusikan oleh presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan semalam bagi meringankan beban pemain dan pegawai yang terlibat.

“Berdasarkan laporan yang MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.

“Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).” katanya.

Tambah Ab Ghani lagi, pihaknya memandang serius isu tunggakan gaji sebegini dan telah mengarahkan Sarawak United menyelasaikannya dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.

Kegagalan berbuat demikian, MFL akan membuat tindakan susulan dimana kemungkinan slot bertanding dalam saingan Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan kepada Sarawak United.

Featured Image: Sarawak United FC

komen