Elavarasan Diumum Ketua Jurulatih Malaysia B-23 Baharu
September 1, 2022 Hafizuddin Omar

Setelah sebulan setengah kerusi ketua jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) kosong, hari ini, ianya kembali diisi.

Menerusi satu pengumuman oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell, jurulatih tempatan, E. Elavarasan  diumum mengisi posisi tersebut.

Pada masa yang sama, jurulatih berusia 60 tahun ini dibantu oleh Juan Torres Garrido selaku penolong jurulatih, Kris Yong sebagai jurulatih penjaga gol Jihyeon Park dan Lee Jeyoon.

Elavarasan bersama-sama barisan kejurulatihan ini akan mengemudi skuad B-23 negara untuk mengharungi Sukan SEA 2023 a(Kemboja), Sukan Asia 2022 (China) serta Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang juga Kelayakan Olimpik 2024.

Selain itu, difahamkan, tugas Elavarasan sebagai penolong ketua jurulatih bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya kekal.

Untuk makluman, kerusi ketua jurulatih skuad berjulukan Harimau Muda ini kosong selepas FAM dan Brad Maloney berpisah sekitar pertengahan Julai lalu.

Komen