Tahukah anda, kelibat Jafri Firdaus Chew yang kini beralih daripada penyerang kepada pertahanan kanan bersama Penang FC bukanlah satu paksaan oleh barisan kejurulatihan.
Sebaliknya, itu merupakan keputusan yang dibuat oleh pemain berusia 25 tahun ini sendiri demi memastikan dapat meraih minit permainan dengan lebih kerap setelah berusaha sebaik mungkin untuk bersaing dengan penyerang import.
“Saya sendiri sebenarnya tawarkan diri kepada jurulatih mahu bermain di posisi pertahanan kanan kerana akui sukar hendak dapat peluang jika terus menunggu beraksi di sebagai penyerang.
“Walaupun saya tidak pernah ada pengalaman bermain di posisi ini sejak dulu, saya tidak gentar mengambil risiko ini selepas ada mencuba beberapa kali semasa sesi latihan.
“Alhamdulillah, jurulatih boleh menerima permintaan saya malah tidak sangka, terus diberi peluang berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan JDT pada separuh akhir Piala FA.
“Selepas beberapa perlawanan, saya semakin selesa beraksi di posisi ini walaupun tidak dinafikan masih banyak lagi perkara perlu belajar terutama dalam penyesuaian posisi ketika bertahan serta menjaga kedudukan pemain lawan.
“Harap ramai peminat Pulau Pinang tidak terkejut dengan keputusan ini kerana saya rasa ada kemampuan bermain di posisi pertahanan kerana paling penting saya boleh lebih kerap untuk bermain,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini, Jafri telah diturunkan selaku bek kanan dalam 3 perlawanan terakhir bersama skuad Harimau Kumbang dan dilihat telah menjadi pilihan utama Dato’ Zainal Abidin Hassan walaupun mempunyai pilihan lain seperti Fairuz Zakaria.
Featured Image: Penang Football Club