Peminat sukan dodgeball seluruh dunia sekali lagi menyaksikan skuad lelaki Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Dodgeball Dunia.
Kilauan pingat emas itu menjadi milik Malaysia setelah skuad lelaki negara berhasil menumpaskan Australia dengan skor 10-5 dalam perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Sebelum itu, mereka mengesahkan tempat ke perlawanan akhir apabila berjaya mengalahkan skuad tuan rumah, Kanada dengan skor 8-3.
Tonton perlawanan akhir antara Malaysia dan Australia DI SINI.
Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga skuad lelaki Malaysia berhasil membawa pulang pingat emas daripada kejohanan dunia ini. Sebagai rekod, mereka julung kalinya meraih emas di kejohanan ini pada edisi 2017 diikuti edisi 2018.
Sementara itu, sebuah kategori baharu iaitu campuran yang julung kalinya diperkenalkan dan dipertandingkan dalam kejohanan dunia pada edisi kali ini menyaksikan skuad negara berhasil membawa pulang pingat perak.
Mereka terlepas peluang untuk meraih emas ekoran tumpas kepada skuad campuran Kanada dengan skor 3-5 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Komuniti Saville itu.
Akhir sekali, skuad wanita negara pula menamatkan kejohanan ini di tempat keempat setelah tumpas kepada Australia dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Featured Image: Dodgeball Malaysia