6 Pasukan Berstatus “World Tour” Sertai Le Tour de Langkawi 2022
September 5, 2022 Hafizuddin Omar

Sekurang-kurangnya enam buah pasukan berstatus jelajah dunia (world tour) akan menyertai perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Penganjur mengesahkan sendiri perkembangan tersebut dimana enam pasukan berkenaan ialah UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education-EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Difahamkan, selain daripada Astana-Qazaqstan, ini merupakan julung kalinya kelima-lima buah pasukan yang lain mengambil bahagian dalam perlumbaan LTdL ini.

Turut dimaklumkan, kali terakhir perlumbaan bertaraf UCI ProSeries (kejohanan berbasikal jalan raya Tier 2) ini disertai sehingga enam buah pasukan berstatus “world tour” ini adalah semasa edisi tahun 2014 yang lalu.

View this post on Instagram

A post shared by OFFICIAL PETRONASLTdL 2022 🇲🇾 (@ltdlangkawi)

Pada masa yang sama, perlumbaan edisi ke-26 yang akan berlangsung bermula 11 hingga 18 Oktober nanti turut disertai oleh empat buah pasukan berstatus benua profesional (pro continental) iaitu Drone Hopper-Androni Giacattoli (Itali), Uno X Pro Cycling Team (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos BH (Sepanyol). 

Bagi pasukan tempatan pula, dua daripadanya merupakan pasukan profesional tempatan iaitu Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling manakala sebuah lagi merupakan Pasukan Kebangsaan Malaysia (Malaysia National Team).

Setakat ini, penganjur mengesahkan sebanyak 22 pasukan telah akan mengambil bahagian.

Untuk makluman semua, perlumbaan LTdL edisi kali ini merangkumi lapan laluan yang berjarak 1,183 kilometer (km) secara keseluruhan bermula di Kuala Pilah untuk peringkat pertama dan berakhir di Kuah, Langkawi bagi peringkat kelapan. 

Komen