Adakah tokoh dan pakar kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar tidak lagi berperanan sebagai penaung (patron) bagi Kedah Darul Aman Football Club?
Sebaliknya, peranan beliau bersama skuad berjulukan Sang Kenari itu ke tahap yang lebih tinggi iaitu sebagai pengerusi dan pemilik baharu bagi kelab berkenaan.
Kejutan itu diumumkan sendiri olehnya ketika berucap dalam majlis pelancaran jersi sebuah pasukan yang berpangkalan di selatan Thailand, Pattani FC, semalam.
“Saya Dr. Mohd Daud Bakar, pengerusi dan pemilik Kedah Darul Aman FC,” katanya memulakan bicara di dalam majlis berkenaan yang turut disiarkan secara langsung di laman sosial milik kelab terbabit.
Beliau turut menyambung ucapannya itu dengan menjemput Pattani FC yang beraksi dalam saingan Thai League 3 untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Pada masa yang sama beliau turut berharap agar pasukannya dapat bertandang ke wilayah berkenaan beraksi menentang skuad berjulukan The Queen Cannons ini pada masa hadapan.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan berkenaan dalam mengharungi saingan bola sepak musim ini.
Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang makluman rasmi di laman sosial milik Kedah Darul Aman mengenai jawatan baharu dan pemilikan baharu Dr. Mohd Daud Bakar.
Seperti kita sedia maklum, Kedah Darul Aman FC yang diuruskan sepenuhnya oleh Darulaman Football Club Sdn. Bhd.
Syarikat yang menguruskan kelab ini pula dipegang sahamnya sebanyak 80% oleh Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dan bakinya pula sebanyak 20% dimiliki oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Manakala, Dr. Mohd Daud Bakar pula diumumkan sebagai patron bagi skuad Hijau Kuning oleh Presiden KFA, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor merangkap Menteri Besar Kedah sekitar November 2021.
Featured Image: Pattani FC