Pemain badminton beregu wanita negara, Pearly Tan boleh menarik nafas lega apabila kecederaan yang dialaminya di kejohanan Terbuka Jepun minggu lalu tidak melibat anterior cruciate ligament (ACL).
Berdasarkan perkongsian oleh wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, selepas menjalani imbasan magnetic resonance imaging (MRI) hari ini, pemain berusia 22 tahun itu hanya mengalami kecederaan di bahagian hamstring dan tendon lutut.
Walaupun kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius, doktor di Institut Sukan Negara (ISN) menyatakan Pearly perlu berehat sekurang-kurangnya 4-6 minggu.
Selain itu, Perly perlu dipantau dengan rapi dalam dua minggu terawal ini bagi mengesahkan samada mempunyai kecederaan melibatkan meniscus atau tidak.
Tempoh rehat sehingga enam minggu ini menyaksikan Pearly berkemungkinan besar akan terlepas untuk beraksi kejohanan Terbuka Denmark – Jelajah Dunia Super 750 BWF yang akan berlangsung bermula 18 Oktober kelak.
Slps menjalani imbasan MRI, setakat ini Pearly Tan TIDAK mengalami kecederaan serius, hanya cedera dibahagian Hamstring & Tendon lutut. Menurut Dr, Pearly perlu berehat sekurang 4-6 minggu selain perlu dipantau rapi 2 minggu awal untk pengesahan ada kecederaan Meniscus atau tidak pic.twitter.com/NYTFnpXPbt
— Syakirah Zulkifly (@SykrhZlkfly) September 5, 2022
Untuk makluman, Pearly mendapat kecederaan tersebut ketika berentap menentang beregu Korea, Baek Ha Na dan Lee Yu Lim pada Pusingan 16.
Dalam perlawanan tersebut, Pearly bersama gandingannya, Thinaah Muralitharan terlebih dahulu berjaya meraih kemenangan di set pertama dengan skor 21-13.
Semasa di set kedua, Pearly mula mengalami kecederaan namun berbekalkan semangat yang tinggi, Pearly tetap meneruskan permainan yang menyaksikan beregu No.32 dunia itu berhasil meraih kemenangan dengan skor 21-19.
Akan tetapi, di set ketiga, Pearly beberapa kali terpaksa menunduk menahan kesakitan sebelum mereka membuat keputusan tidak meneruskan permainan (retired) ketika ketinggalan 11-16.
Ekoran kecederaan yang dialami itu, Pearly terpaksa dibawa keluar daripada gelanggang menggunakan kerusi roda sambil menangis teresak-esak.
Pada masa yang sama, keputusan itu sekaligus telah memberikan kemenangan buat beregu Korea tersebut sekaligus membolehkan mereka melangkah ke peringkat suku akhir.
Featured Image: Swiss Open