Artikel

Bola Jaring Asia: Malaysia Muncul Juara Kumpulan C, Mara Ke Pusingan Dua

Skuad bola jaring kebangsaan berhasil menempah tiket ke Pusingan Kedua dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 selepas muncul juara Kumpulan C.

Malaysia berjaya memastikan status juara kumpulan itu apabila berjaya menumpaskan Taiwan dengan bergaya 82-25 dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, hari ini.

Sebelum itu, Malaysia membenam Brunei Darussalam dengan keputusan 78-22 dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan C, Sabtu lalu.

Dua kemenangan ini memberikan Malaysia mengutip 4 mata sekaligus mara ke Pusingan Kedua menyertai Kumpulan E yang akan turut disertai oleh juara Kumpulan A, B dan D daripada Pusingan Pertama.

Di peringkat Pusingan Kedua ini, kesemua pasukan di dalam Kumpulan E akan berentap menentang sesama sendiri dengan format “single round robin” untuk menentukan ranking sebelum ke peringkat separuh akhir.

Di peringkat separuh akhir kelak, juara Kumpulan E akan menentang pasukan di tempat keempat manakala naib juara akan bertemu pasukan di tempat ketiga. 

Pasukan yang memenangi saingan separuh akhir akan mara ke perlawanan akhir serta mendapat kelayakan automatik ke pentas Piala Dunia Bola Jaring 2023 yang akan berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan.

Featured Image: Netball Singapore

komen