Artikel

Ranking BWF: Kisona Selvaduray Kekal Pemain No.1 Malaysia

Pemain badminton wanita berusia 23 tahun, Kisona Selvaduray kekal sebagai perseorangan No.1 Malaysia buat minggu kedua berturut-turut.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 ini muncul selaku pemain wanita No.1 negara setelah menghuni ranking dunia yang tertinggi dalam kalangan pemain Malaysia bermula minggu lalu.

Kemaskini ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada minggu ini masih mengekalkan statusnya itu dengan mencatatkan peningkatan satu anak tangga yang meletakkannya di kedudukan ke-50 dunia – terbaik dalam kariernya setakat ini.

Status pemain No.2 negara pula menjadi milik pemain senior, Soniia Cheah yang kini berada di tangga ke-53 dunia. Pemain berumur 29 tahun ini jatuh di kedudukan tersebut bermula minggu lalu dan ianya kekal tidak berganjak pada minggu ini.

Pemain No.3 negara pula menjadi milik Goh Jin Wei yang berada di ranking ke-59 dunia – kedudukan yang sama seperti minggu lalu.

Sementara itu, kedudukan 10 pemain terbaik dunia mengalami sedikit perubahan pada minggu ini. Pemain Jepun, Akane Yamaguchi yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF dan Terbuka Jepun baru-baru ini kembali merampas kedudukan No.1 dunia pada minggu ini daripada pemain Taiwan, Tai Tzu Ying.

Manakala pemain Thailand, Ratchanok Intanon pula merekodkan peningkatan satu anak tangga, menghuni ranking ketujuh dunia pada minggu ini. Pemain berumur 27 tahun ini merampas kedudukan tersebut daripada pemain India, Pusarla V. Sindhu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen