Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain melihat pasukan lawannya dalam perlawanan akhir Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kelebihan berbanding pasukannya sendiri.
Terutamanya kelebihan daripada segi pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir. Manakan tidaknya, dalam tempoh lima musim terakhir ini, skuad berjulukan Harimau Selatan itu telah tampil dalam dua perlawanan akhir iaitu final Piala Malaysia 2021 dan 2019. Salah satunya iaitu edisi 2019 berakhir dengan meraih kejuaraan.
Sebagai perbandingan, kali terakhir skuad Hitam Putih ini tampil dalam final dalam tempoh yang sama adalah dalam saingan Piala Malaysia 2018 yang menyaksikan mereka tumpas kepada Perak.
“Kalau diikutkan pasukan lawan telah biasa beraksi dipentas akhir berbanding pasukan kita yang jika dilihat hanya Faiz Nasir dan juga Kipre Tchetche sahaja yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir dan semestinya kita memerlukan pengalaman dari pemain ini untuk menaikkan moral dan didikan untuk pemain-pemain yang lain kerana kita tahu kita dibarisi ramai pemain muda yang masih belum merasai pentas akhir seperti ini.” katanya.
Justeru, jurulatih berusia 43 tahun ini mahu para pemainnya terutamanya pemain muda menjadikan perlawanan pada Sabtu nanti sebagai pentas untuk membuktikan kualiti yang dimiliki selain daripada memburu kejuaraan yang telah kian lamanya tidak berkunjung ke dalam pasukan ini.
Pada masa yang sama, Nafuzi yang merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan ketika Terengganu beraksi di pentas final tahun 2018 lalu merasakan para pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu nanti.
Sebagai rekod, kali terakhir Terengganu berjaya menjulang trofi sekitar 11 tahun lalu dengan menjuarai saingan Piala FA 2011 dengan menumpaskan seterus setempat Kelantan dengan keputusan 2-1 di venue yang sama.
Featured Image: Terengganu FC