Artikel

Chelsea Era Todd Boehly Pecat Ketua Jurulatih Buat Kali Pertama

Tradisi memecat ketua jurulatih atau pengurus apabila prestasi semasa Chelsea tidak begitu memuaskan yang sebelum ini diamalkan oleh Roman Abramovich diteruskan oleh pemilik baharunya, Todd Boehly.

Menerusi satu makluman terbaru oleh kelab berpangkalan di London itu, jodoh skuad yang terkenal dengan julukan The Blues bersama ketua jurulatihnya, Thomas Tuchel telah berakhir, hari ini.

Pemecatan itu hadir selepas Chelsea tumpas 0-1 dalam perlawanan sulung Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dalam Kumpulan E kepada Dinamo Zagreb, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Selain tumpas dalam perlawanan ini, Chelsea di bawah jurulatih Jerman ini turut memulakan enam aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tidak begitu meyakinkan iaitu 3 kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Kejayaan besar Tuchel membimbing kelab ini menjulang trofi UCL, Super Cup dan Piala Dunia Kelab FIFA pada tahun 2021 langsung tidak membuatkan kepimpinan Chelsea teragak-agak untuk memecatnya.

Pemilikan Boehly yang merupakan ahli perniagaan dari Amerika Syarikat ini terhadap Chelsea sudah genap 100 hari. Difahamkan, Boehly percaya ini merupakan waktu yang tepat untuk melakukan transisi mencari ketua jurulatih baharu bagi mengemudi Chelsea.

Tiada sebarang makluman mengenai jurulatih baharu yang akan dilantik oleh Chelsea buat masa ini. Untuk menghadapi perlawanan yang mendatang, dimaklumkan, persiapan itu akan dilakukan oleh barisan kejurulatihan sedia ada.

Featured Image: Chelsea FC

komen