Piala AFC: KL City Cipta Satu Lagi Sejarah, Mara Ke Final Inter-Zonal
September 7, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di ibu negara, Kuala Lumpur City FC (KL City) mencipta satu lagi sejarah dalam kejohanan Piala AFC.

Kali ini, skuad bimbingan Bojan Hodak ini berhasil melakukan kejutan menumpaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 dalam perlawanan separuh akhir inter-zonal, sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan menumpaskan kelab berjulukan Mariners ini dilakar di hadapan penyokong dan laman lawan mereka sendiri, Stadium Salt Lake, Kolkata.

Jaringan oleh KL City itu hadir menerusi kapten, Paulo Josue serta dua jaringan oleh pemain gantian, Fakrul Aiman dan Romel Morales pada minit ke-60, ke-90+2 dan ke-90+5 masing-masing.

Manakala jaringan oleh pasukan tuan rumah pula hadir menerusi Ali Molla pada minit ke-90 yang membolehkan mereka mengikat KL City 1-1 buat seketika waktu pada masa itu.

Kemenangan ini membolehkan mereka mara ke perlawanan akhir Inter-zonal bertemu wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh yang turut mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan kelab Hong Kong, Eastern FC.

Untuk makluman semua, perlawanan akhir inter-zonal antara KL City dan Sogdiana Jizzakh ini dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober kelak.

Featured Image: AFC Cup

Komen