Siri Antarabangsa Remaja Malaysia: Pilihan Pertama, Justin Hoh Mara Ke Suku Akhir
September 8, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan muda negara yang diletakkan sebagai pilihan pertama. Justin Hoh untuk menjuarai saingan Siri Antarabangsa Remaja Malaysia berhasil melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Kemaraan itu dilakar selepas berjaya menundukkan rakan senegara, Aaron Tai secara “straight set” 21-16 dan 21-12 dalam tempoh 46 minit permainan di Pusingan 16, sebentar tadi.

Sebelum itu, Justin yang merupakan pemain No.2 remaja dunia berhasil menumpaskan seorang lagi rakan senegara, Tan Zhi Yang dan pemain Indonesia, Michael Daniel Royce Karamoy di Pusingan 32 dan 64 masing-masing.

Sementara itu, Justin akan bertemu pemain Jepun, Daigo Tanioka di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada hari esok.

Pemain dari negara matahari terbit itu mara ke peringkat yang sama selepas mengalahkan pemain Thailand, Adisak Prasertphetmanee juga secara “straight set” dengan pungutan mata 21-11 dan 21-3 dalam tempoh masa 38 minit.

Berdasarkan rekod, Justin dan Daigo belum pernah berentap dalam mana-mana kejohanan sebelum ini. Ianya akan menjadi pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pemain.

Sebagai rekod, sepanjang tahun 2022 ini, Justin telah merangkul tiga kejuaraan iaitu saingan Antarabangsa Bonn, Terbuka Croatia dan Siri Antarabangsa Remaja India.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen