Perseorangan wanita remaja negara yang diletakkan selaku pilihan pertama untuk menjuarai kejohanan Siri Antarabangsa Remaja Malaysia tewas mengejut di tangan pemain Jepun pada peringkat Pusingan 16, hari ini.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah Siti Nurshuhaini Azman yang kini menghuni ranking ke-211 dunia dan ranking ke-43 remaja dunia. Dia tumpas kepada Mihane Endo yang tidak mempunyai sebarang ranking dunia mahupun remaja dunia.
Dalam perlawanan tersebut, Siti tumpas kepada Mihane menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-18 dan 13-21 dalam tempoh menghampiri satu jam permainan.
Disebalik tersingkirnya Siti, seorang lagi wakil negara dalam kejojanan ini, Siti Zulaikha yang diletakkan sebagai pilihan keenam berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Zulaikha yang menghuni ranking ke-1020 dunia dan ranking ke-136 remaja dunia mara selepas menumpaskan rakan senegara, Clarissa San secara “straight set” dengan skor 21-13 dan 21-13 dalam tempoh 31 minit.
Menantinya di suku akhir yang akan berlangsung esok adalah pemain Jepun, Hina Akechi yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia