Final Piala FA: Polis Tidak Benarkan Powerbank Dibawa Masuk Dalam Stadium
September 9, 2022 Hafizuddin Omar

Powerbank menjadi salah satu barangan larangan untuk dibawa masuk ke dalam Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala FA melibatkan Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari esok.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis IPD Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin dalam sidang media keselamatan yang berlangsung sebentar tadi.

Difahamkan, powerbank dilarang oleh pihak polis untuk dibawa masuk ke dalam stadium atas faktor ianya merupakan objek yang keras, berkemungkinan boleh dijadikan objek untuk membaling kepada penyokong lawan dan boleh menimbulkan kecederaan apabila dibaling.

Justeru, beliau menasihatkan para penyokong yang akan hadir ke stadium untuk mengecas penuh telefon pintar masing-masing sekaligus tidak perlu untuk membawa powerbank.

Selain daripada powerbank, berikut adalah senarai barangan yang dilarang untuk dibawa masuk ke dalam stadium:

  • Mercun 
  • Bunga api 
  • Suar 
  • Topi keledar 
  • Laser pen 
  • Mancis 
  • Pemetik api 
  • Sebarang objek tajam seperti besi, kayu dan sebagainya 
  • Senjata seperti parang, pisau dan lain-lain 
  • Minuman keras 
  • Payung 
  • Tongkat 
  • Botol air

Sehubungan itu, bagi memastikan barangan larangan yang disenaraikan ini tidak dibawa masuk, pihak polis akan melakukan pemeriksaan di setiap pintu masuk stadium dan juga selepas memasuki perkarangan stadium. Pemeriksaan yang dilakukan akan meliputi pemeriksaan tubuh badan serta barangan yang dibawa di dalam beg.

Komen