Setiap Coach Perlukan Piala Untuk Membuktikan Dirinya Bagus
September 9, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain pernah merangkul kejuaraan Piala FA sebanyak dua kali sewaktu bergelar pemain suatu masa dahulu. Kejuaraan itu dirangkulnya semasa beraksi bersama Terengganu dan Kedah pada tahun 2000 dan 2007 masing-masing.

Bagaimanapun, tiada sebarang gelaran kejuaraan utama bersama skuad senior pernah dirangkul oleh Nafuzi sejak bertugas sebagai ketua jurulatih pada tahun 2019 bersama skuad berpangkalan di pantai timur ini.

Justeru, Nafuzi mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukannya dalam perlawanan akhir Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok sekaligus menghadirkan koleksi pertama trofi buatnya selaku jurulatih.

“Sebagai pemain saya sudah mendapat piala, sebagai coach (ianya menjadi) lagi bermakna untuk saya mendapat kejuaraan terutamanya saya masih (seorang) coach yang masih muda,”   

“Setiap coach perlukan piala untuk membuktikan awak merupakan seorang jurulatih yang bagus, perlu ada trofi atau piala,” katanya dalam sidang media pra perlawanan, hari ini.

Untuk makluman, Terengganu yang dibimbing oleh Nafuzi berhasil melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan ini selepas menumpaskan Selangor dan Kuching City di peringkat separuh akhir dan suku akhir.

Kemaraan ini juga menjadi yang pertama buat Terengganu selepas mara buat kali terakhir 11 tahun lalu.

Sebagai rekod, sejak berkarier sebagai jurulatih, Nafuzi pernah merangkul kejuaraan kejohanan bawah umur, Piala Presiden pada tahun 2015 ketika membimbing skuad Kelantan Bawah 21 Tahun (B-21).

Featured Image: Malaysian Football League

Komen