Artikel

JDT Julang Piala FA Buat Kali Kedua Di Bawah Era TMJ

Pasukan berpangkalan di selatan semenanjung tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) berhasil memahat sejarah menjulang trofi kejohanan Piala FA buat kali kedua di bawah teraju Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Kejuaraan itu hadir selepas skuad berjulukan Harimau Selatan ini berhasil menumpaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mereka berhasil menumpaskan Terengganu menerusi jaringan oleh penyerang sayap lincah Arif Aiman pada minit 34’ serta dua jaringan oleh penyerang prolifiknya, Bergson da Silva pada minit 62’ dan 78’ masing-masing.

Manakala jaringan tunggal Terengganu hadir menerusi jaringan oleh Tchetche Kipre pada minit 76’ selepas tidak ditampan kemas oleh penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Pada masa yang sama, kemenangan JDT dalam saingan Piala FA ini bakal membuatkan slot Piala AFC akan diberikan kepada pasukan yang akan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua dan ketiga.

Ini berikutan JDT yang mempunyai 42 mata daripada 16 perlawanan berada dalam keadaan yang cukup selesa untuk merangkul kejuaraan Liga Super yang kesembilan berturut-turut.

Kejuaraan Liga Super bermakna mereka akan melepaskan slot Piala AFC kerana mendapat slot automatik ke saingan yang lebih tinggi tarafnya, Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Sebagai rekod, JDT di bawah teraju TMJ julung kalinya menjulang trofi Piala FA ketika edisi tahun 2016. Ketika itu, JDT berhasil mengesahkan kejuaraan setelah menumpaskan PKNS FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Shah Alam.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen