Artikel

MB Umum 11 September Cuti Buat Negeri Johor – Meraikan Kejayaan JDT Julang Piala FA

Seluruh negeri Johor dapat bercuti pada hari esok (Ahad, 11 September) bagi meraikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai saingan Piala FA 2022.

Perkembangan tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi menerusi pelbagai akaun laman sosialnya sejurus sahaja tamat perlawanan menentang Terengganu FC, sebentar tadi.

“Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan JDT merangkul Piala FA 2022 menentang Terengganu FC, dengan jaringan gol 3 – 1.

“Bagi meraikan kemenangan ini, kerajaan negeri berbesar hati mengumumkan hari Ahad, 11 September 2022 sebagai cuti peristiwa untuk Johor.

“Ini sebagai tanda penghargaan di atas sokongan padu yang sentiasa diberi oleh penyokong skuad Harimau Selatan. Terima kasih juga kepada mereka yang turut hadir memberikan sokongan kepada JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, JDT berhasil merangkul kejuaraan selepas berhasil memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-1 hasil jaringan berganda oleh penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva serta satu jaringan oleh pemain tempatan, Arif Aiman.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan Piala FA yang kedua dirangkul oleh skuad berjulukan Harimau Selatan ini sejak ianya dijenamakan semula sebagai Johor Darul Ta’zim oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen