Artikel

Sanusi: Tahniah JDT Menang Piala FA, Sayangnya Pemain JDT Tak Pandai Cakap Johor

Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengucapkan tahniah ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menjuarai saingan Piala FA, semalam.

Ia merupakan trofi Piala FA yang kedua dimenangi oleh pasukan berpangkalan di selatan semenanjung tanah air sejak ianya dijenamakan sebagai JDT oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bermula tahun 2012.

Namun ucapan tahniah menerusi laman sosial peribadinya itu turut diselangi dengan satu ayat bernada sindiran sambil mengepilkan videonya menggesek biola, “sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,”

 

Jika dilihatkan kepada kesebelasan utama JDT yang dipertaruhkan oleh Hector Bidoglio semalam, hanya empat daripada sebelas pemain adalah tempatan iaitu Farizal Marlias, Afiq Fazail, Shahrul Saad dan Arif Aiman.

Selebihnya merupakan pemain berdarah campuran atau mempunyai darah warisan Malaysia seperti Matt Davies, Crobin-Ong dan Natxo Insa serta pemain import, Shane Lowry, Leandro Velazquez, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva.

Terlebih dahulu, sejurus JDT berhasil meraih kemenangan Piala FA semalam, penyerang kelahiran Argentina, Forestieri sempat “bergurau” melalui akaun Instagran peribadinya dengan “menghadiahkan kejuaraan ini” kepada Sanusi.

Untuk rekod, sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan Terengganu semalam, Sanusi secara terbuka memberikan sokongan kepada skuad berpangkalan di pantai timur itu atas faktor isterinya merupakan orang negeri Terengganu serta gemar mendukung pasukan yang berstatus “underdog” atau bukan pilihan.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan sokongan seluruh rakyat dalam negara ini juga akan pergi kepada Terengganu kecuali orang di negeri Johor.

Featured Image: FA Kedah

komen