Salah satu jalan untuk meraih slot ke saingan Piala AFC sudah tertutup buat Terengganu FC apabila gagal menjuarai saingan Piala FA ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), pada malam tadi.
Bagaimanapun, dengan kejuaraan Piala FA menjadi milik JDT yang juga merupakan calon utama untuk menjuarai Liga Super musim ini, slot ke Piala AFC berkemungkinan besar akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan liga di tempat kedua dan ketiga.
Justeru, ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain akur dengan kekalahan semalam dan mengajak pasukannya mengalihkan tumpuan untuk mengejar kedudukan tiga terbaik dalam saingan Liga Super yang berbaki antara 4-6 perlawanan lagi.
📊 KEDUDUKAN – LS18#LigaSuper2022 pic.twitter.com/egJiIgFGIf
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2022
“Saya rasa yang terbaik sekali fokus kepada Liga Super, (sebelum ini) daripada segi fokus banyak tertumpu kepada Piala FA,
“Sekarang, kita rasa boleh bersaing untuk top three, (perlawanan seterusnya) 14 September nanti bertemu Penang, (mengalih) fokus kepada Liga Super untuk raih slot Piala AFC 2023,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir, semalam.
Skuad berpangkalan di pantai timur ini sedang berada di kedudukan keempat selepas mengharungi 17 daripada 22 perlawanan dalam saingan Liga Super.
Sebagai perbandingan, Terengganu mempunyai 29 mata manakala penghuni tempat kedua dan ketiga iaitu Sabah FC dan Negeri Sembilan FC mempunyai 36 dan 35 mata masing-masing selepas mengharungi 18 perlawanan.
Untuk rekod, kali terakhir Terengganu berhasil menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga adalah pada tahun 2020 dimana saingan liga pada ketika itu dijalankan secara separuh musim – 11 perlawanan sahaja – ekoran pandemik Covid-19.
Featured Image: Terengganu FC