Penyerang sayap muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi bukan sahaja berhasil menyumbang satu gol bagi memastikan kemenangan pasukannya dalam saingan Piala FA.
Bahkan kecemerlangan persembahannya dalam perlawanan akhir menentang Terengganu FC turut mengangkatnya selaku pemain terbaik perlawanan (Man Of The Match), semalam.
Disebalik kecemerlangan itu, pemain berusia 20 tahun kelahiran Pahang ini berkongsikan satu nasihat daripada pemilik Johor Darul Ta’zim, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sentiasa menjadi pengangannya.
“Dia (TMJ) selalu cakap enjoy the game (dan) pergi agresif. Dia selalu bercakap macam itu. Setiap perlawanan saya berpegang kepada kata-kata (itu),” kata Arif semasa dalam sidang media selepas perlawanan.
Selain itu, Arif turut berkongsikan bahawa TMJ sering memberikan motivasi dan kepercayaan kepadanya untuk bermain dalam skuad utama pasukan yang berjulukan Harimau Selatan ini.
Tambahnya lagi, ketika mula dapat menyertai skuad utama, dia sendiri tidak menyangka akan perkara tersebut serta tidak berkeyakinan dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Pada masa yang sama, walaupun telah berhasil menjulang Piala FA dan meraih anugerah MOTM dalam perlawanan semalam, ianya belum cukup memuaskan dirinya selaku pemain bola sepak.
Arif yang juga pemain skuad kebangsaan memasang impian untuk memburu lebih banyak kejuaraan bersama JDT termasuk di pentas antarabangsa seperti Liga Juara-juara AFC (ACL).
Featured Image: JOHOR Southern Tigers