Artikel

King’s Cup: Malaysia Bertemu Tuan Rumah, Thailand Di Peringkat Separuh Akhir

Kejohanan jemputan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), King’s Cup yang berlangsung pada rehat antarabangsa FIFA bermula 20 hingga 26 September kelak mengadakan majlis undiannya, sebentar tadi.

Hasil undian tersebut menyaksikan skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon akan berhadapan dengan pasukan tuan rumah, Thailand pada perlawanan pertama atau separuh akhir.

Manakala satu lagi perlawanan separuh akhir akan mempertemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan. Kedua-dua perlawanan ini akan dilangsungkan di 700th Anniversary of Chiang Mai pada 22 September. 

Sepak mula perlawanan melibatkan Trinidad & Tobago menentang Tajikistan akan bermula pada jam 6.30 petang. Manakala Malaysia dan Thailand pula dijadualkan pada 9.30 malam waktu Malaysia.

Pemenang daripada kedua-dua perlawanan ini akan bertemu dalam perlawanan akhir yang akan merebut gelaran juara bagi kejohanan ini. 

Sementara itu, kedua-dua pasukan yang tumpas akan bertemu dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada 25 September.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir melibatkan Malaysia dan Thailand berlangsung dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun lalu. Pertembungan tersebut berkesudahan dengan Malaysia meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan Safawi Rasid.

Featured Image: Changsuek

komen