Ranking ATP: Carlos Alcaraz Muncul Pemain Tenis Termuda Duduki No.1 Dunia – Pada Usia 19 Tahun
September 12, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain tenis kelahiran Sepanyol, Carlos Alcaraz muncul pemain termuda yang akan menghuni ranking No.1 dunia dalam sejarah ranking ATP sejak 1973 selepas berjaya menjuarai kejohanan Grand Slam pertamanya, Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain berusia 19 tahun mengesahkan gelaran tersebut selepas menumpaskan lawannya dari Norway, Casper Ruud dengan keputusan 6-4, 2-6, 7-6 dan 6-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia. 

Kemenangan itu membolehkannya memintas kedudukan pemain No.1 sebelum ini dari Rusia, Daniil Medvedev dalam sistem ranking ATP ketika berusia 19 tahun dan 4 bulan – dalam kemaskini berikutnya.

Untuk makluman semua, ketika kejohanan ini bermula pada 29 Ogos lalu, Alcaraz menduduki ranking keempat dunia.

Langkauan dari No.4 kepada No.1 yang dilakukan Alcaraz ini meletakkannya sebaris dengan tiga pemain lain yang pernah melakukan perkara yang sama iaitu Moya (1995), Andre Agassi (1999) dan Pete Sampras (2000).

Sebagai rekod, kedudukannya sebagai pemain No.1 dunia pada usia sebegini telah memecahkan rekod yang dipegang oleh pemain Australia, Lleyton Hewitt ketika berusia 20 tahun pada tahun 2001.

Featured Image: ATP Tour

Komen