Artikel

Bekas Penyerang Terengganu, David Da Silva Kini Penjaring Kedua Terbanyak Liga Indonesia

Penyerang Brazil, David da Silva yang pernah beraksi bersama Terengganu FC sepanjang musim 2021 menjadi satu sosok yang tidak diminati oleh sebahagian besar penyokong kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air itu.

Ia berikutan prestasinya sebagai penyerang tidak begitu memuaskan dengan sekadar menjaringkan 7 gol daripada 15 penampilan dalam saingan Liga Super serta dirundung kecederaan yang agak panjang.

Menariknya, prestasi Da Silva bersama Persib Bandung sejak bermulanya saingan baharu Liga 1 Indonesia cukup berbeza dengan yang dipersembahkannya semasa bersama Terengganu pada tahun lalu.

Da Silva turun bukan sahaja bebas kecederaan dan turun dalam kesemua sembilan perlawanan Liga 1 sebagai pemain kesebelasan utama. Bahkan dia turut meletakkan dirinya selaku salah satu penjaring berbisa dalam kancah Liga Indonesia dengan berjaya meledak 8 gol setakat ini. 

Catatan itu meletakkannya sebagai penjaring kedua terbanyak liga – hanya kurang satu gol berbanding pendahulu carta, Matheus Pato (9 gol) daripada Borneo FC.

Untuk makluman semua, jaringan peribadi kelapan Da Silva baru sahaja hadir dalam perlawanan menentang Arema FC di tempat lawan, semalam. Lebih manis, jaringan pada minit ke-88 itu telah membantu Persib meraih kemenangan selepas terikat 1-1 bermula minit ke-49 permainan. 

Selain merekodkan 8 jaringan, Da Silva turut mencatatkan satu bantuan gol (assist) buat rakan sepasukannya ketika perlawanan pembukaan Liga 1 menentang Bhayangkara FC.

Sebagai tambahan, Da Silva kini telah mengumpul 50 gol daripada daripada 66 penampilannya dalam kancah bola sepak Indonesia sejak tahun 2018.

Untuk pengetahuan semua, Da Silva menyertai Persib Bandung bermula Disember 2021 selepas Terengganu mengumumkan tidak melanjutkan kontraknya.

Featured Image: Persib Bandung

komen